Bakal Isteri Malek Noor

Gambar ihsan dr. Wan Asma
Tiada siapa pernah menyangka akan menjadi suri kepada bekas juara bina badan Asia, Datuk Malek Noor.

Bagi wanita yang bakal menjadi penyeri hidup kepada ikon bina badan itu, Dr. Wan Asma Wan Ismail, ikatan yang bakal termeterai 12 Mac ini adalah jodoh yang dikurniakan tuhan walaupun perkenalan mereka agak singkat.

“Tak sangka saya akan menjadi isteri kepada seorang ikon seperti dia tapi inilah yang kita kata jodoh.

“Saya tertarik dengan kejujuran dan kesungguhan dia untuk memperisterikan saya serta sifatnya yang pandai mengambil hati serta menghiburkan saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Dagangan Kelantan (KTC), semalam.

Dr. Wan Asma memberitahu, tarikh 12 Mac yang akan menyatukan ikatan mereka sebagai suami isteri itu dipilih oleh Malek Noor sendiri sebagai simbolik kerana pada tarikh yang sama tahun lepas, Malek Noor telah menunaikan umrah dan memohon doa agar dipertemukan isteri.

Dr. Wan Asma yang merupakan seorang doktor pakar kanak-kanak di Hospital Pakar Perdana telah berpisah dengan suami pertamanya sejak tahun 2006 dan mempunyai tujuh orang anak dan empat cucu.

Menceritakan bibit-bibit pertemuan pertama mereka, Dr Wan Asma memberitahu, semuanya adalah gara-gara satu produk kesihatan.

“Dia menjadi duta bagi produk tersebut dan saya menghubungi dia untuk bertanyakan mengenai cara penggunakan produk tersebut pada 24 Disember tahun lepas.

“Tiga minggu selepas itu, baru saya berkesempatan bertemu dengan dia, itu pun dah lewat malam secara kebetulan di KTC dan selepas itu kami kerap berhubung menerusi telefon sehingga kami membuat keputusan untuk berkahwin,” ujarnya yang mengakui hanya bertemu dengan Malek Noor sebanyak empat kali sahaja sepanjang perkenalan mereka.

Kata Dr. Wan Asma, dia tidak mendapat sebarang halangan daripada anak-anak mahupun keluarga. Kesemua menyambut berita itu dengan gembira.

Majlis resepsi perkahwinan akan diadakan Hotel Renaissance, Kota Bahru.

Comments

Popular posts from this blog

Jamu untuk kesihatan wanita

Pelacur Remaja..

Cara membuat Jamu sendiri