Tuesday, April 12, 2016

Apa itu Placenta Previa

Plasenta previa (placenta praevia) adalah plasenta atau uri yang terletak rendah. Ia adalah komplikasi kehamilan yang mana plasenta berada di bahagian bawah uterus dan menutupi sebahagian atau kesemua serviks atau pembukaan rahim. Dalam setiap 1,000 wanita, antara tiga hingga enam orang mempunyai masalah ini. Perdarahan mungkin berlaku sebagai satu simptom keadaan ini. Apabila bahagian bawah rahim atau uterus mulai regang pada peringkat kedua kehamilan, plasenta mungkin terpisah, menyebabkan perdarahan yang teruk. Bayi tidak boleh dilahirkan melalui vagina jika plasenta menutupi pembukaan rahim secara menyeluruh. 

Perdarahan yang tidak dapat diberhentikan (haemorrhage) boleh menggugat nyawa kedua ibu dan bayi, walaupun ini jarang berlaku. Jika perdarahan tidak berhenti, atau jika ibu terus maju ke peringkat kelahiran pramatang, bayi akan terpaksa dilahirkan melalui pembedahan caesarean walaupun jangkaan tarikh bagi kelahiran bukan untuk beberapa minggu lagi. 

Plasenta previa boleh dibahagikan kepada empat jenis, yang disenaraikan di bawah, di mana yang dua terdahulu adalah yang paling biasa. 

I plasenta terletak rendah di bahagian bawah rahim, namun begitu, bayi masih boleh dilahirkan melalui vagina; 

II bahagian bawah pinggir plasenta bertemu dengan pembukaan serviks, tetapi tidak menutupinya, jadi bayi masih boleh dilahirkan melalui vagina; 

III plasenta menutupi sebahagian pembukaan serviks, oleh itu, bayi perlu dilahirkan melaluipembedahan caesarean; 

IV plasenta menutupi pembukaan serviks sepenuhnya, oleh itu bayi perlu dilahirkan melalui pembedahan caesarean. 

sumber : www.babycenter.com.my


No comments: