Kembar Siam Malaysia
Pasti ramai yang akan tersentuh apabila mendengar kisah hidup seseorang yang dirasakan terlalu sukar bagi kita untuk lalui sebagai manusia.
Namun bagi Norhisyam Mohammad, bapa kepada bayi kembar siam yang melekat dibahagian perut dan pinggang, Nur Badrishah dan Nur Bahiyah, dugaan yang diterima sentiasa dianggap sebagai satu rahmat dari tuhan.
Kembar siam tersebut itu dilahirkan melalui pembedahan pada 10.15 pagi 22 September lalu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), dan mempunyai berat 4.2 kilogram, beberapa bulan lebih awal daripada tarikh jangkaan pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, bayi kembar itu sebelum ini telah selamat menjalani pembedahan membetulkan saluran najis dan pundi kencing di HKL pada 25 September lalu dan bakal menjalani pembedahan pemisahan apabila keadaan kedua-dua mereka stabil dan tumbesaran mereka normal.
Bayi tersebut melekat di bahagian bawah pinggang dan berkongsing usus besar, dan pembedahan yang bakal dilakukan tidaklah terlalu berisiko dan ia akan dilakukan oleh pakar tempatan di HKL.
Mereka yang berasal dari Perlis ini telah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak dilahirkan dan ini memaksa kedua ibu bapa mereka memendam rasa meninggalkan anak jauh dari jagaan.
Lebih memilukan, ibu mereka Sopiah Daud hanya berpeluang melihat mereka beberapa bulan selepas tamat tempoh berpantang ekoran masalah kewangan yang menimpa keluarga ini.
Nurhisyam memberitahu, dengan gaji pokok RM600 sebulan, beliau tidak mampu untuk berulang dari Perlis ke Kuala Lumpur kerana kos perjalanan yang terlalu tinggi. Tambahan pula, majikan beliau sukar untuk meluluskan cuti bergaji yang dipohon.
Oleh itu, setiap kali beliau meminta cuti untuk ke Kuala Lumpur, gajinya akan dipotong.
"Saya berterima kasih kepada mereka yang sudi membantu saya, walaupun tidaklah banyak ia tetap membantu saya dan isteri untuk menampung perbelanjaan perjalanan ke Kuala Lumpur.
"Bukan masalah wang sahaja yang saya alami, setiap kali saya ke Kuala Lumpur bersama keluarga, tempat tinggal juga menjadi masalah. Memanglah saudara sudi menumpangkan saya tapi saya faham, mereka juga berkeluarga," katanya kepada penulis.
Nurhisyam juga memberitahu, beliau agak kecewa kerana pihak hospital tidak terlalu telus dalam memberikan maklumat mengenai pembedahan anaknya kerana dia sebagai bapa juga merasakan berhak mengetahui segalanya.
"Pihak hospital memarahi saya dan mempersoalkan mengapa saya tampil ke media dan menceritakan perihal anak dan keluarga tetapi ia bukan kehendak saya.
"Jika benar saya mahu menghebohkan, dari dalam kandungan lagi saya sudah hebohkan kerana kami sekeluarga mengetahui mengenai kandungan kembar siam ini seawal usia lima bulan lagi," katanya.
Beliau menceritakan, di saat kedua anaknya itu dilahirkan, pihak hospital HSB lah yang telah memberitahu mengenai kelahiran ini kepada pihak media dan meminta menyuruh pihak media meminta kebenaran beliau untuk membuat liputan.
Baginya, sebagaimana dia dan keluarga begitu teruja untuk melihat kembar tersebut begitu jugalah seluruh rakyat Malaysia kerana kelahiran kembar siam sangat jarang di sini.
Walaupun doktor memberitahu pembedahan pemisahan yang akan dilakukan tidaklah terlalu berosiko, dia sebagai bapa tetap merasa bimbang.
Perkara yang paling merungsingkan adalah masa depan anaknya itu kerana kemungkinan kedua-duanya boleh berjalan masih lagi 50-50.
Buat masa ini juga kedua-duanya terpaksa menggunakan kantung khas untuk membuang air namun Nurhisyam sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya itu.
Nur Badrishah dan Nur Bahiyah bakal menjalani pembedahan pemisahan tidak lama lagi setelah pemeriksaan rapi mengenai keadaan usus mereka selesai. Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Norhisyam Mohammad di talian 012-5311026 atau isterinya, Sopiah Daud di 017-5075539.
Comments